Berita Harian - 21 Dec 2016 - 29
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan universiti awam (UA) menjana 30 peratus pendapatan sendiri menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, dipetik sebagai berkata, sasaran itu selaras dengan hasrat yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang dilancarkan tahun lalu.
Pelan itu turut melaporkan kebergantungan universiti awam kepada kerajaan amat tinggi iaitu 90 peratus dan ia perlu dikurangkan sehingga 70 peratus. Justeru, KPT telah menggariskan pelan tindakan dan garis panduan yang ada dalam ‘Purple Book ’ProgramTransformasi Universiti supaya boleh digunakan oleh universiti awam dalam usaha menjana pendapatan.
Kini UA perlu lebih serius belanja dengan berhemat dan mengambil inisiatif berjimat dalam apa juga aspek yang membabitkan kewangan dan perbelanjaan yang dilakukan. UA diharap terus mempergiat usaha menjana pendapatan sendiri termasuk menggunakan kepakaran dalam bidang akademik dan penyelidikan, latihan, wakaf, sumbangan alumni, jalinan korporat perniagaan, perkhidmatan dan peruncitan di universiti masing-masing.
Seperti dimaklumi, rata-rata UA mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh digunakan dalam perkhidmatan perundingan bersama syarikat dan agensi luar. Ini sekali gus memberi janaan pendapatan tambahan di samping mempromosi UA kepada pasaran global.
UA juga boleh mengambil peluang keemasan ini untuk menjana pendapatan melalui program prasiswazah dan pascasiswazah yang berkualiti tinggi. Ini dapat dicapai dengan program atas talian yang dibangunkan menggunakan platform Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOC) yang kini giat dibangunkan oleh setiap UA dalam pelbagai bidang.
Hasil kursus berkualiti
MOOC membuka peluang untuk UA berusaha dalam menghasilkan kursus dan subjek berkualiti tinggi dan menitikberatkan aspek pedagogi dan gaya pembelajaran. Maka 2017, mahasiswa dari seluruh dunia akan mula mendaftar masuk dan menjalani kursus berkualiti ini dan membayar jumlah tertentu pada akhir kursus kepada universiti.
Ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2016, Menteri Pendidikan Tinggi turut memberi gambaran bahawa nanti seorang pelajar dibenarkan mengambil kursus ditawarkan UA pada semester pertama, kemudian mengambil subjek dari universiti swasta dan kolej komuniti pada semester seterusnya. Pada akhir tempoh pengajian, pelajar ini boleh mendapat ijazah diiktiraf dan dikeluarkan bersama oleh institusi itu.
Impian ini pastinya tidak lagi mustahil dengan ada capaian kepada MOOC yang
mempraktikkan pembelajaran fleksibel. Fleksibiliti di sini memberi kuasa autonomi kepada pelajar untuk memilih kursus yang ingin mereka pelajari, masa dipilih untuk belajar dan dengan tokoh bidang yang mana ingin mereka jadikan sebagai pensyarah dan mentor di dalam jurusan mereka.
Pembangunan MOOC juga biasanya membabitkan proses yang melibatkan tenaga kerja dan peralatan teknikal. Oleh itu, UA boleh merangka strategi menjana kewangan melalui penyewaan aset universiti kepada pihak yang ingin membangunkan MOOC atau memerlukan khidmat nasihat dalam bidang pembelajaran teradun, pembelajaran luwes dan inovasi di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Tak pinggir mahasiswa
Dalam pada itu, UA juga tidak harus meminggirkan mahasiswa yang menjadi nadi sesebuah universiti. Dalam meneraju agenda negara, mahasiswa juga harus dilibatkan dan diberi kepercayaan bekerjasama bagi menjana pendapatan menerusi produk yang dihasilkan oleh UA.
0 comments:
Post a Comment