Google Analytic

Wednesday, June 18, 2025

Majlis Sanjungan Budi: Majlis Bagi Meraikan Persaraan En. Arshad bin Bujang Yang Telah Berkhidmat Selama 32 Tahun Dengan UiTM

Shah Alam, 16 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan persaraan Yang Berusaha, En. Arshad bin Bujang, Ketua Timbalan Pustakawan, yang telah menamatkan perkhidmatannya secara rasmi setelah hampir 32 tahun menabur bakti dengan penuh dedikasi kepada UiTM.

Majlis ini merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau sejak mula melapor diri pada 1 Oktober 1993. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau dikenali sebagai seorang pegawai yang berintegriti tinggi, komited, serta berpengetahuan luas dalam bidang pengurusan dan operasi perpustakaan.

En. Arshad turut dikenang sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan disenangi ramai, hasil keperibadiannya yang positif, mudah mesra, serta sentiasa menyuntik semangat kerjasama dalam kalangan warga PTAR. Beliau juga menjadi sumber rujukan penting dan inspirasi kepada pustakawan generasi baharu di UiTM.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video kenangan, ucapan penghargaan daripada rakan sekerja, serta penyampaian cenderamata sebagai simbol kenangan dan tanda penghormatan.

Mewakili Warga Kerja Bahagian Perpustakaan Digital (BPDI), PTAR UiTM, kami ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Arshad bin Bujang, yang juga merupakan mantan peneraju BPDI, diatas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang menerajui bahagian ini.







Sumber Artikel   : Laman Web Rasmi Perpustakaan UiTM

Sumber Gambar : Unit Korporat Dan kolaborasi

0 comments:

Post a Comment